Sebagaimana maklum, Firaun dengan segala kesombongan dan kebongkakannya
telah mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata menyembah
dan memperhambakan diri kepadanya. Barangsiapa yang ingkar akan disiksa
dan dibunuh. Begitulah kejamnya Firaun dan kerajaannya. Namun begitu
terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah di
antaranya Siti Asiah, isteri Firaun dan keluarga Masyitah. Masyitah
adalah pelayan raja dan lebih terkenal sebagai tukang sikat Firaun.
Mereka
terpaksa menyembunyikan iman mereka kepada Allah, dengan itu mereka
tidak akan diganggu.Tetapi pada satu hari, sewaktu Masyitah sedang
menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat
itu terjatuh dan dia dengan tidak sengaja melatah dan menyebut "Allah".
Puteri tersebut apabila mendengar perkataan "Allah", dia pun bertanya
kepada Masyitah siapakah"Allah" itu. Masyitah pada mulanya enggan untuk
menjawab pertanyaan itu tetapi setelah didesak berkali-kali, Masyitah
memberitahu bahawa Allah itu adalah Tuhan yang Esa dan Tuhan sekalian
Alam.
Puteri itu dengan serta-merta mengadu pada Firaun akan hal
Masyitah itu. Firaun agak terperanjat bila mendengar Masyitah menyembah
Tuhan selain daripadanya. Maka Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya
telah memerintahkan menterinya yang bernama Hamman untuk membunuh
Masyitah dan kaum keluarganya yang telah menyembah Allah. Firaun sedikit
pun tidak mengenang jasa Masyitah terhadap keluarganya. Selain menjadi
tukang sikat, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana Firaun.
Tetapi tanpa usul periksa dan kejam Firaun menjatuhkan hukuman kepada
Masyitah.
Inilah masanya untuk menguji Masyitah, seorang wanita
yang lemah fizikalnya tetapi memiliki kekuatan jiwa yang luar biasa.
Beliau dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh
manusia yang tidak berhati perut itu. Hamman telah memaksa
pengawal-pengawalnya untuk menyediakan sebuah kawah yang besar untuk
mencampakkan Masyitah dan keluarganya yang ingkar dengan Firaun
seandainya mereka tidak mahu kembali kepada Firaun. Masyitah bersama
dengan suami dan empat orang anaknya termasuk seorang anaknya yang masih
bayi dihadapkan ke hadapan Firaun untuk diberi kata dua sama ada hendak
menyembah Firaun atau dicampakkan ke dalam kawah yang berisi air panas
yang mendidih. Maka dengan tegas Masyitah dan suaminya tetap
mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah itulah Tuhan yang
Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa.
Dengan keputusan itu,
Hamman dengan tiada rasa peri kemanusiaan mencampaksatu persatu keluarga
Masyitah ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Sambih
ketawa terbahak-bahak dengan nada yang menyindir, Hamman mencampakkan
suami Masyitah dahulu diikuti dengan anak-anaknya yang lain.Masyitah
melihat sendiri dengan mata kepalanya bagaimana anak-anaknya
terkapai-kapai di dalam air yang panas menggelegak itu. Kini tinggal
Masyitah dan bayinya yang akan dicampakkan ke dalam kawah
tersebut.Syaitan membisikkan ke telinga Masyitah rasa was-was dan
kasihan melihat anaknya yang masih kecil itu disiksa sedemikian rupa.
Masyitah mula ragu-ragu samada hendak terjun ataupun tidak. Tetapi
dengan kekuasaanAllah, tiba-tiba anak yang masih bayi itu berkata-kata
kepada ibunya,Masyitah : "Wahai ibu, marilah kita menyusul ayah,
sesungguhnya syurga sedang menanti kita".Bila mendengarkan kata-kata
yang sangat ajaib dari anaknya yang masih bayi itu, dengan rasa
kehambaan dan cinta kepada Allah, Masyitah terjun bersama anaknya ke
dalam kawah yang berisi air panas itu dan matilah mereka sekeluarga demi
mempertahankan iman mereka kepada Allah.Tetapi Allah tidak membiarkan
manusia berbuat durjana sesuka hati.
Allah datangkan kepada
Firaun, Hamman dan para pengawalnya yang membunuh Masyitah dengan azab
siksa yang sangat pedih. Allah runtuhkan kerajaan Firaun dan Hamman mati
di dalam runtuhan tersebut. Tentera dan para pengawalnya ditenggelamkan
di dalam dasar laut. Mereka mati di dalam keadaan kafir. Sebaliknya
Masyitah sekeluarga mati di dalam keadaan yang mulia dan bahagia di
dalam syurga. Sewaktu Rasulullah s.a.w Isra' dan Mikraj, baginda telah
melalui sebuah makam. Makam itu sangat wangi dengan bauan kasturi.
Lantas Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibril yang mengiringinya, maka
jawab Jibril a.s : "ItulahMakam Masyitah, salah seorang wanita penghulu
syurga." Begitulah keistimewaan yang Allah berikan kepada Masyitah.
Walaupun
tubuhnya dan tubuh keluarganya hancur, namun di sisi Allah mereka
sangat mulia. Wahai wanita yang mukmin, bersabarlah menghadapi hidup di
dunia ini. Kesusahan dan kekurangan, kata nista manusia dan kejian di
dalam membangunkan Islam itu hanyalah sementara. Bersabarlah dan
tenangkan hati dengan banyak mengadu dan mengharapkan keredhaan Allah.
Kuatkan iman dan sematkan di dalam hati kecintaan kepada Allah dan Rasul
itu melebihi dari segalanya. Patuh dan taat akan perintah suami, didik
anak-anak dengan Islam. Insya Allah kita akan selamat di dunia dan
akhirat. Marilah sama-sama mencontohi Masyitah yang sanggup mengorbankan
nyawanya dan nyawa keluarganya demi mendapatkan cinta kepada Allah.
Tidakkah kita ingin mengikut jejaknya ?
sumber: http://za-hawa.blogspot.com/2012/06/kisah-masyitah-tukang-sikat-rambut.html
No comments:
Post a Comment